Monday, April 1, 2013

PKR persiap senarai awal calon PRU-13


Kuala Lumpur: Intelektualiti, akhlak dan kebolehan berkhidmat kepada rakyat antara kriteria utama yang diguna pakai PKR dalam memilih calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). 

Pengarah Strategi parti itu, Rafizi Ramli, berkata sehingga kini empat bekas pegawai kanan tentera dan seorang mufti antara calon yang disahkan akan bertanding. 

Parti itu, katanya, sehingga kini berpuas hati dengan beberapa senarai awal yang diperoleh dan akan terus menimbangkan lebih ramai calon untuk melengkapi senarai. 

“Apa yang kita mahukan ialah calon boleh menang yang menepati ketiga-tiga kriteria itu, bukan memilih sebarangan hingga menjejaskan nama baik parti. 

“Pada kali ini jawatankuasa parti telah bersepakat untuk mengenakan proses tapisan yang lebih ketat,” katanya kepada BH ketika dihubungi di sini semalam. 

Ditanya mengenai muka baru yang bakal menghiasi parti itu, Rafizi berkata calon muda antara yang bakal diberi kepercayaan untuk bertanding. 

“Kita ada menerima banyak pencalonan membariskan calon muda yang dikenal pasti memiliki daya kepemimpinan yang tinggi. Mereka ini walaupun ada yang tidak pernah bergiat dalam politik, tetapi sudah biasa dengan selok belok kepemimpinan dalam komuniti setempat berikutan pembabitan dalam badan bukan kerajaan (NGO) atau persatuan,” katanya. 
Pemilihan terbuka 

Budaya pemilihan PKR juga jelas Rafizi lagi, lebih terbuka kerana mereka sentiasa mengalu-alukan calon baru yang bersedia untuk memikul tanggungjawab yang bakal diamanahkan kepada mereka. 

“Minat yang ditunjukkan oleh ramai ahli untuk bertanding kali ini adalah perkembangan sihat dan parti akan terus mencari calon yang berbekalkan tiga kriteria utama itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment