Monday, April 1, 2013

Datuk Seri dicari bantu siasatan Ops Daulat


LAHAD DATU 31 Mac - Polis sedang mencari seorang lelaki dikenali sebagai Datuk Seri Muhammad Ridzwan Sulaiman bagi membantu siasatan berkaitan Ops Daulat.

Menurut sumber, lelaki berkenaan dikehendaki polis kerana dipercayai merupakan penyalur dana untuk kumpulan pengganas Kiram yang menceroboh Sabah.

Katanya, suspek yang mendapat pangkat Datuk Seri daripada kerajaan Sulu itu menyalurkan dana tersebut bersama beberapa orang lagi rakannya di negara ini.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, Muhammad Ridzwan yang berasal dari Georgetown, Pulau Pinang dipercayai kini merupakan Yang Dipertua dan Presiden Pertubuhan Kebajikan Al-Ehsan Islamiah Malaysia (Al-Ehsan Islamiah).

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung individu ini (Muhammad Ridzwan) diminta tampil menyalurkan maklumat kepada pihak polis.

"Dalam masa sama, kita juga meminta individu ini bekerjasama dengan tampil menyerah diri bagi membantu siasatan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Hamza, lelaki yang dikehendaki itu dipercayai masih berada dalam negara dan alamat terakhirnya ialah di Pengkalan Weld, Georgetown.

Bagaimanapun katanya, pihak polis belum mempunyai maklumat lanjut berhubung identiti lelaki yang dipercayai berusia dalam lingkungan 50-an.


No comments:

Post a Comment