Monday, April 1, 2013

Pembangkang kini semakin gerun



KUALA LUMPUR 31 Mac - Pembangkang kini semakin gerun dengan sokongan tinggi rakyat terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sehingga sanggup merancang pelbagai taktik kotor bagi mencetuskan keadaan huru-hara dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Pengerusi Wanita Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, sikap jijik itu dibuktikan menerusi perancangan mengeksploitasi dakwat kekal yang akan digunakan dalam pilihan raya umum akan datang seperti didedahkan sebuah blog semalam.

Menurut beliau, tindakan itu juga menunjukkan pembangkang sanggup menafikan hak mengundi rakyat semata-mata mahu berkuasa.

Namun, jelasnya, strategi itu akan dilumpuhkan Wanita BN yang akan bergerak dari rumah ke rumah bagi mendedahkan taktik tersebut kepada seluruh pengundi.

"Saya akan menggerakkan semua jentera Wanita seluruh negara untuk sebarkan maklumat ini supaya dakyah pembangkang dapat ditepis sekali gus memastikan semua pengundi mendapat hak mereka dan boleh melaksanakan tanggungjawab dengan aman," katanya.

Shahrizat berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Gagasan Aspirasi Usahawan Online, Sohonita anjuran Majlis Pembangunan Wanita Keluarga Kebangsaan (MPWKK), di sini hari ini.
Beliau mengulas taktik pembangkang yang didakwa akan mengeksploitasi penggunaan dakwat kekal bagi mencetuskan keadaan huru-hara dengan cara masuk ke taman perumahan atau kampung untuk mengajar kaum ibu kaedah mencalit dakwat di jari.

Shahrizat berkata, bagi mengekang usaha jahat pembangkang itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu memastikan tidak berlaku ketirisan atau kecurian dakwat sebenar yang bakal digunakan pada hari mengundi.
Dalam perkembangan lain, Shahrizat yang juga Pengerusi MPWKK berkata, sebanyak 788 wanita yang berminat dengan perniagaan online sudah berdaftar dengan Sekretariat Kebangsaan Sohonista sejak dilancarkan 16 Februari lalu.

Katanya, ekoran sambutan menggalakkan itu pihaknya akan meneruskan siri jelajah bagi mempromosi inisiatif tersebut ke seluruh negara.

"Sasaran kita ialah wanita pelbagai peringkat umur yang tidak mampu keluar bekerja kerana sebab-sebab tertentu, namun ada minat dan kepakaran untuk berniaga secara online yang boleh menjana keuntungan," katanya.


No comments:

Post a Comment