Monday, April 1, 2013

Ahmad didesak mohon maaf, atau berdepan saman



KOTA BHARU 1 April - Presiden Orang Muda Berpadu Anti Korupsi (OMBAK) Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad mendesak Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob supaya memohon maaf secara terbuka dan menarik balik tuduhan bahawa pihaknya mengada-adakan cerita serta gambar mengenai penggondolan tanah di negeri ini atau berdepan tindakan undang-undang.

Wan khairul Ihsan yang ditemani peguamnya, Nor Azli Ahamed pada sidang akhbar di sini hari ini turut menuntut Ahmad supaya membayar ganti rugi sebanyak RM1 juta di atas 'fitnah' yang disebarkan itu kerana ia telah menjejaskan reputasi serta kredibilitinya.

Beliau berkata, kenyataan Ahmad telah disiarkan dalam akhbar Sinar Harian pada 17 Februari lalu selepas pihaknya mendedahkan mengenai gambar-gambar dan video penggondolan tanah di negeri ini kira-kira 10 hari sebelum itu.

"Dalam laporan tersebut, Ahmad menuduh saya telah mencantumkan dua gambar dari tempat berasingan untuk mengelirukan rakyat, sedangkan saya sudah jelaskan lebih awal bahawa gambar-gambar ini diambil menggunakan teknologi terkini dilengkapi sistem penentu kedudukan global (GPS) yang memberikan koordinat serta lokasi tepat setiap gambar kita rakamkan.

"Gambar ini juga telah diserahkan kepada pihak pakar untuk dianalisa berdasarkan kelengkapan yang kita gunakan. Untuk apa saya berbohong, ini adalah isu rakyat dan kita dedahkan kerana mahu kerajaan negeri mengambil tindakan secepat mungkin menyelesaikannya. Tanah adalah hak rakyat dan bukannya hak pemimpin Pas.

"Saya telah meminta pihak peguam supaya menghantar notis permohonan maaf kepada Ahmad, jika beliau enggan memohon maaf kita akan mengambil tindakan undang-undang kerana kenyataannya telah menyebabkan pandangan buruk rakyat negeri ini terutama rakan-rakan serta ahli keluarga terhadap saya, ia amat memberi kesan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment