Wednesday, September 11, 2013

Elak krisis di Mesir berlaku di Malaysia



Pemimpin pembangkang di negara ini digesa menjadikan krisis berdarah di Mesir sebagai pengajaran dengan tidak membakar semangat sekelompok rakyat untuk bangkit menentang kerajaan yang dipilih melalui proses demokrasi.

Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Nozula Mat Diah berkata, krisis berdarah di Mesir antara lain berlaku disebabkan tindakan pemimpin politik memperalatkan rakyat untuk memenuhi cita-cita mereka.


Beliau berkata, di sebalik banyak pihak mengutuk kekejaman yang berlaku, pemimpin pembangkang di negara ini sewajarnya mengambil sikap jangan cuba menjadikan Malaysia seperti negara tersebut yang kini berdepan keadaan huru-hara.

Katanya, tindakan mengedarkan pelekat berupa 'empat jari' dan pelbagai lagi lambang, antara gerakan pihak pembangkang cuba membangkitkan semangat sekelompok rakyat untuk menentang kerajaan bagi memenuhi cita-cita peribadi mereka.

Menurutnya, kita hasut rakyat supaya menggunakan demonstrasi nak menjatuhkan kerajaan, (sebagai contoh) lambang Bersih, tangan ini (pelekat R4BIA yang digunakan kumpulan menentang keganasan di Mesir), (bila rakyat bangkit menentang kerajaan) ini yang memperjudikan keamanan negara.

"Kita patut menerima mandat rakyat yang memilih Kerajaan Pusat dan negeri, jangan bangkitkan kempen yang boleh mencetuskan ketidakpuasan hati rakyat. Kenapa kita tidak boleh menyokong apa yang dipilih oleh rakyat, kenapa nak hasut rakyat melakukan Bersih 1, 2, dan 3 yang mendapat sumbangan pihak luar.

"Harap peristiwa di Mesir tak berlaku di negara ini, pembunuhan yang berlaku dilakukan oleh orang Mesir juga, harus menjadi teladan supaya Melayu tidak bunuh Melayu, Melayu jatuhkan kerajaan Melayu," katanya.

Beliau bercakap demikian ketika membahaskan usul mengecam dan mengutuk krisis berdarah di Mesir dalam Sidang Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Usul tersebut yang dicadangkan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob kemudiannya diluluskan sebulat suara selepas dibahaskan oleh wakil rakyat daripada parti pembangkang dan penyokong kerajaan.

Nozula yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, berkata, krisis berdarah di Mesir sememangnya ada kaitan dengan keadaan di Malaysia yang mana pemimpin Pas dakwa beliau pernah menghalalkan darah orang UMNO, selain dakwaan perjuangan mereka syahid.

Kenyataan beliau bagaimanapun dibantah keras oleh beberapa wakil rakyat Pas yang mahu Nozula menarik balik dakwaan itu sehingga menimbulkan suasana tegang.

No comments:

Post a Comment