Tuesday, October 15, 2013

Pengerusi PKR Selangor mengkritik kerajaan negeri pimpinan Khalid Ibrahim



Timbalan Presiden PKR Azmin Ali berkata Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa membuat teguran terbuka terhadap Tan Sri Khalid Ibrahim kerana kritikan secara dalaman sebelum ini tidak berhasil.
“Ini adalah julung-julung kali (Anwar) membuat teguran secara terbuka.  Mungkin ada baiknya kerana teguran yang dibuat secara dalaman sebelum ini tidak begitu diberikan perhatian oleh kerajaan negeri, “ kata beliau kepada Antarapos.

Azmin yang juga Pengerusi PKR Selangor berkata kerajaan negeri pimpinan Khalid dibelit dengan birokrasi berlebihan sehingga dilihat lesu  dalam membela kebajikan rakyat meskipun mempunyai kewangan utuh.

“Tidak ada maknanya kita mempunyai simpanan yang banyak RM2.6 bilion  namun masih ramai anak-anak miskin di desa yang tidak mendapat pekerjaan. Tidak ada makna pertumbuhan yang tinggi, apabila sampah tidak dikutip mengikut jadual yang ditetapkan,” tegas beliau.

Pertumbuhan tinggi, tegas Azmin, tidak boleh dibanggakan jika  “jalan masih berlubang dan sistem penyampaian perkhidmatan itu masih lembab dan terlalu banyak birokrasi di dalam pentadbiran.”

Beliau berharap kerajaan negeri  “melihat teguran yang dibuat oleh Penasihat Ekonomi itu secara serius dan  mengambil tindakan segera untuk memperbaiki keadaan.
Anwar dilantik sebagai Penasihat Ekonomi Selangor pada tahun 2009 namun tidak mempunyai kuasa eksekutif dalam kerajaan negeri pimpinan Khalid.
Kelmarin Anwar membuat kejutan apabila menegur Khalid secara terbuka, malah memperlekehkan rekod beliau berbanding Ketua Menteri Lim Guan Eng dalam konteks membela rakyat.

Azmin berkata sungguhpun rakyat menghargai usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan hasil negeri dan juga simpanan kerajaan negeri, namun prinsip pembangunan itu harus jelas.
Beliau berkata kadar pertumbuhan tinggi Selangor akan tinggal sebagai angka di tas kertas sahaja jika rakyat tidak mendapat manfaat pembangunan.  

“ Sebab itu hasil yang tinggi (dan)  simpanan yang begitu besar harus dibelanjakan secara berhemah untuk kepentingan rakyat di negeri Selangor,” tegas beliau. .

Azmin berkata beliau sendiri telah membangkitkan kepincangan kerajaan negeri dalam Dewan Undangan Negeri Selangor selepas pilihan raya umum ke 13.

“ Teguran yang saya buat itu berasaskan kepada prinsip yang sama kerana kalau lihat balik kenyataan saya selepas PRU 13, saya sebut birokrasi yang terlalu menebal di dalam pentadbiran (Selangor),” kata beliau.

“ Ini salah satu punca kelembaban pentadbiran yang ada sekarang dan ianya perlu ditangani segera.,” tegas beliau.

No comments:

Post a Comment