Wednesday, March 27, 2013

Pilihan raya DUN, Parlimen Negeri Sembilan serentak


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menolak kemungkinan menetapkan tarikh pilihan raya bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata ketetapan akan dibuat selepas pihaknya menerima surat daripada Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan, Datuk Razak Mansor, bagi memaklumkan secara rasmi mengenai pembubaran DUN. 

“Ini proses biasa, kebiasaannya Speaker DUN (Negeri Sembilan) akan hantar surat (kepada SPR) pemberitahuan bahawa DUN dibubarkan dan kekosongan kerusi berlaku. Tapi sehingga kini SPR belum terima lagi surat berkenaan,” katanya kepada BH, semalam. 

Tunggu surat rasmi

Abdul Aziz berkata, selepas surat rasmi diterima, SPR ada tempoh 60 hari untuk tentukan tarikh penamaan calon dan mengundi.

“Jika dikira mulai esok (hari ini), kita (SPR) ada masa selama 60 hari iaitu sehingga 26 Mei depan. Jika Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat juga, tarikh mengundi (DUN dan Parlimen) boleh diadakan serentak,” katanya.

Mengulas mengenai tempoh ditetapkan kepada Yang Dipertua DUN untuk memaklumkan kepada SPR bahawa DUN terbubar, Abdul Aziz berkata, secara tradisinya surat rasmi akan diterima pada hari yang sama iaitu semasa pengumuman DUN terbubar dibuat. 

Semalam, akhbar melaporkan Razak akan menghantar surat rasmi kepada Pengerusi SPR memaklumkan pembubaran DUN secara automatik hari ini.

Tubuh kerajaan sementara

Razak dilaporkan berkata, surat kepada SPR dihantar selewat-lewat hari ini (semalam) untuk menyatakan bahawa DUN sudah tamat tempoh dan kerajaan sementara ditubuhkan untuk menguruskan pentadbiran negeri.

Selain itu, beliau berkata, walaupun dari segi perundangan, tiada peraturan menetapkan bahawa surat itu perlu dihantar kepada SPR, secara kelaziman ia akan memaklumkan bahawa DUN sudah tamat tempoh.

No comments:

Post a Comment